Kembara Sastera Kalimantan
29 Mei hingga 3 Jun 2023
Tarakan • Balikpapan • Samarinda • Kutai Kartanegara • Penajam Paser Utara • Nunukan
Ikatan Penulis Sabah mengucapkan TERIMA KASIH kepada semua individu dan organisasi yang telah menyumbang secara langsung dan tidak langsung kepada kejayaan Kembara Sastera Kalimantan 2023, terutamanya kepada:
Yang Berhormat Datuk Ir. Hj. Shahelmey Yahya
Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya Negeri Sabah
Yang Berhormat Datuk Hj. Nizam Hj. Abu Bakar Titingan
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah
Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu
Pemerintah Kabupaten Nunukan
Pemerintah Kota Tarakan
Pemerintah Kota Balikpapan
Pemerintah Kota Samarinda
Komunitas TerAksara Samarinda
Rombongan Kembara Sastera Kalimantan 2023 bergambar di Terminal Feri Tawau sebelum berlayar ke Pelabuhan Tunon Taka, Nunukan, Kalimantan Utara.
Wakil Wali Kota Tarakan, Yth. Bpk. Effendhi Djuprianto (duduk, tengah) berserta Ibu Efiani (duduk, tiga dari kanan) bergambar kenangan dengan rombongan Kembara Sastera Kalimantan 2023 di Gedung Dubung, Kantor Wali Kota Tarakan, Kalimantan Utara.
Kejayaan Kembara Sastera Kalimantan 2023 Mengekalkan Semangat "Menjalin Silaturrahmi Saudara Serumpun Sepulau"
Kenyataan ini dikeluarkan oleh Ketua Satu, Ikatan Penulis Sabah, Awang Abdul Muizz Awang Marusin di Kota Kinabalu pada 12 Jun 2023.
Ikatan Penulis Sabah (IPS) dengan sukacitanya mengumumkan kejayaan Kembara Sastera Kalimantan 2023 yang bertemakan "Menjalin Silaturrahmi Saudara Serumpun Sepulau". Kembara yang berlangsung dari 29 Mei hingga 2 Jun 2023 ini menyaksikan IPS menjejak beberapa buah kabupaten dan kota di Kalimantan Utara dan Kalimantan Timur, Indonesia, iaitu Nunukan, Tarakan, Balikpapan, Samarinda, Kutai Kartanegara dan Penajam Paser Utara.
Kembara Sastera Kalimantan 2023 yang dianjurkan oleh IPS dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu (KJRI KK), telah menyaksikan penyertaan seramai 18 orang penggiat bahasa dan sastera, seniman, serta wartawan dari dalam dan luar negeri Sabah. Sesuai dengan tema yang ditetapkan oleh Panitia Penyelenggara, Kembara ini bertujuan memperkukuhkan hubungan silaturrahmi dan memperluas jaringan kerjasama dalam bidang sastera dan seni antara kedua-dua buah negara.
Rombongan Kembara Sastera Kalimantan 2023 bergambar bersama para pegawai Pemerintah Kota Balikpapan di lobi Balai Kota Balikpapan, Kalimantan Timur.
Rombongan Kembara Sastera Kalimantan 2023 bergambar di luar Muzium Kota Samarinda bersama pegawai-pegawai Pemerintah Kota Samarinda, Kalimantan Timur.
Kembara Sastera Kalimantan 2023 merupakan sebuah platform unik yang membolehkan penggiat bahasa dan sastera, seniman, dan wartawan dari Malaysia dan Indonesia berinteraksi, berkongsi pengetahuan, dan meraikan kepelbagaian budaya yang kaya di rantau Nusantara. Selain itu, mereka juga berpeluang untuk menyelami tradisi sastera dan kesenian setempat, memahami perbezaan dan persamaan, dan meneroka peluang bekerjasama pada masa hadapan.
Dalam tempoh enam hari, peserta kembara telah dibawa mengunjungi beberapa buah destinasi penting, terutamanya Titik Nol Ibu Kota Nusantara yang terletak di Sepaku, Penajam Paser Utara. Mereka turut melibatkan diri dalam perbincangan, pembacaan puisi, persembahan nyanyian, dan kunjungan ke tempat-tempat bersejarah dan kebudayaan di semua tempat yang dilawati oleh rombongan kembara.
Rombongan Kembara Sastera Kalimantan 2023 bergambar di Titik Nol Ibu Kota Nusantara di Sepaku, Penajam Paser Utara, Kalimantan Timur.
Bupati Nunukan, Yth. Ibu Dr. Hj. Asmin Laura Hafid (depan, kiri), disaksikan oleh Wakil Bupati Nunukan, Yth. Bpk. H. Hanafiah (depan, kanan), menerima cenderahati daripada YBhg. Datuk Ustaz Hj. Jalidar Abd. Rahim dalam acara ramah-tamah Pemerintah Kabupaten Nunukan bersama rombongan Kembara Sastera Kalimantan 2023 di Hotel Laura, Nunukan, Kalimantan Utara.
Kembara Sastera Kalimantan 2023 mencerminkan semangat dan komitmen Malaysia, khususnya IPS, dalam menjalin silaturrahim sesama saudara serumpun dan sepulau. Kembara tersebut telah memberi kesempatan kepada penulis, seniman, dan wartawan untuk merapatkan hubungan, saling bertukar pengalaman, dan meluaskan wawasan mereka dalam bidang masing-masing. Besar harapan IPS agar usaha ini akan terus mengukuhkan hubungan diplomatik serta membawa manfaat yang berkekalan kepada bahasa, sastera dan budaya tempatan Malaysia dan Indonesia.
IPS berharap agar semangat kerjasama dan persahabatan yang ditanamkan semasa kembara ini akan terus berkembang dan memberi impak positif dalam perkembangan sastera dan seni di rantau ini.
IPS melihat ke depan untuk meneruskan hasrat yang telah ditanamkan pasca Kembara Sastera Kalimantan 2023 agar dapat direalisasikan oleh pihak-pihak berkepentingan pada masa hadapan. IPS juga melihat ke depan untuk menganjurkan kembara seperti ini di pada masa hadapan.