Hadiah Puisi K. Bali
Ikatan Penulis Sabah (IPS) mengambil inisiatif memperkasakan khazanah sastera melalui penulisan puisi yang bermutu tinggi menerusi penganjuran peraduan yang dijenamakan sebagai HADIAH PUISI K. BALI. Hadiah penulisan ini mengambil nama sasterawan tersohor yang memberikan banyak sumbangan kepada perkembangan sastera di Sabah, iaitu Allahyarham K. Bali.
Inisiatif ini merupakan sebahagian sasaran besar projek Puisi Adalah... di samping memperbanyak penerbitan buku-buku sastera di Negeri Sabah khususnya dan Malaysia amnya.
Terma dan syarat pertandingan
Pertandingan ini terbuka kepada semua penulis yang berumur 18 tahun ke atas dan berasal dari negara rantau Asia Tenggara, iaitu Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, Timor-Leste dan Vietnam.
Setiap penyertaan hendaklah terdiri daripada manuskrip minimum 50 buah puisi dengan syarat seperti di bawah:
Panjang, tema, dan bentuk puisi bebas.
Bahasa utama setiap puisi mestilah dalam Bahasa Melayu. Penggunaan kosa kata bahasa etnik dibenarkan, tetapi mesti disertai dengan glosari.
Setiap penyertaan wajib diberikan judul.
Seorang peserta bebas menghantar lebih daripada satu penyertaan, tetapi setiap puisi hanya layak dimuatkan dalam sebuah manuskrip sahaja.
Setiap penyertaan perlu dihantar menggunakan fail perisian Microsoft Word (.doc atau .docx). Kesemua puisi perlu dikumpulkan dalam satu fail; dengan maksud, dalam satu fail, perlu ada minimum 50 buah puisi.
Setiap penyertaan mestilah disertakan dengan perakuan secara bertulis bahawa karya-karya penulis merupakan karya asli penulis. Secara tegas dinyatakan bahawa tiada tolak ansur terhadap karya plagiat.
Keputusan peraduan ini merupakan hak mutlak Panitia Penyelenggara. Panitia Penyelenggara berhak mengubah, membatalkan atau menarik balik sebarang penyertaan atau kemenangan yang tidak menepati syarat atau keperluan.
Panitia Penyelenggara berhak mengubah sebarang syarat Hadiah Puisi K. Bali mengikut kesesuaian dan keperluan dari semasa ke semasa.
Penulis diminta menyertakan dalam hantaran penyertaan, maklumat peribadi yang berikut:
Nama penuh (dalam huruf BESAR).
Nama pena (jika ada; jika tiada, abaikan).
Nombor kad pengenalan atau pasport. Penulis Malaysia wajib menyatakan nombor MyKad.
Nombor telefon (yang boleh dihubungi melalui aplikasi WhatsApp).
Alamat surat-menyurat.
Manuskrip puisi berserta maklumat peribadi hendaklah dihantar kepada hadiah.puisi.kbali@gmail.com sebelum atau pada jam 11.59 malam waktu Malaysia (GMT+8), 31 Mac 2024.
Pertanyaan lanjut mengenai peraduan ini boleh disalurkan ke aplikasi WhatsApp melalui nombor telefon +60169664961.
Penilaian dan hadiah
Semua karya yang diterima oleh Panitia Penyelenggara akan dinilai oleh sebuah Panel Penilai yang terdiri daripada mereka yang profesional dalam bidang masing-masing.
Karya yang berjaya melepasi saringan berpeluang meraih hadiah yang berikut:
Hadiah Utama: Wang tunai RM 1,000 (Ringgit Malaysia Seribu) dan sijil pengiktirafan kepada seorang penerima.
Hadiah Penghargaan: Wang tunai RM 500 (Ringgit Malaysia Lima Ratus) dan sijil pengiktirafan kepada tiga orang penerima.
Penerbitan
Karya pemenang berpeluang untuk diterbitkan di bawah label IPS. Panitia Penyelenggara berhak menyunting, menyarankan penyuntingan, atau membuat sebarang pengubahsuaian yang dirasakan perlu dan sesuai bagi tujuan menjaga kualiti karya.