Ikatan Penulis Sabah (IPS) telah meniti perjalanan 35 tahun sebagai suatu kisah cinta yang tidak putus-putus terhadap tanah pusaka Sabah dan Malaysia. Ditubuhkan pada tahun 1990, IPS tumbuh daripada semangat penulis-penulis muda Sabah yang beriltizam memartabatkan sastera dan budaya Sabah. Sepanjang tempoh ini, IPS mengharungi pelbagai liku dan berjaya mencipta pencapaian yang membanggakan. IPS konsisten mencurahkan bakti dalam memperkukuh warisan sastera negeri di Bawah Bayu – membuktikan betapa mendalamnya cinta mereka kepada tanah tumpah darah mereka dan budaya para pendahulu mereka.
"'kan kucerita pada semua
kisah cinta antara kau dan 'ku
agar semua tahu
dan tak akan mengganti dirimu"
A. Aida
Kisah Cinta Kita, 2019
Pada awal 1990, tiga orang penulis muda Sabah – Jasni Matlani (sekarang Datuk), Abd. Naddin Haji Shaiddin, dan Aliuddin Mohd. Salleh – bersepakat mewujudkan sebuah persatuan bagi mengembangkan bakat penulis pelapis di negeri ini. IPS ditubuhkan pada 24 Mac 1990 di Kota Kinabalu melalui mesyuarat penaja yang diadakan di Sudut Penulis, Bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Kampung Air, Kota Kinabalu yang dihadiri oleh 23 orang penulis dan peminat sastera. IPS kemudiannya didaftarkan secara rasmi pada tahun 1992.
Sejurus penubuhan, IPS giat menganjurkan aktiviti kesusasteraan, kebahasaan dan kesenian yang menumpukan pembinaan bakat baharu. Sepanjang era 1990-an, para ahli IPS aktif menghasilkan karya yang diterbitkan dalam akhbar, majalah dan antologi tempatan. Puisi tradisional seperti pantun dan syair, sajak moden, cerpen serta novel nukilan penulis Sabah mulai mewarnai media massa. Kehadiran IPS jelas menyemarakkan perkembangan sastera negeri, sekali gus memperkaya khazanah sastera tempatan pasca 1990.
Sepanjang 35 tahun, tampuk kepimpinan IPS diterajui oleh tokoh-tokoh penulis Sabah. Di bawah teraju Ketua Satu yang pertama, Jasni Matlani (1990-1998), IPS menjadi gerakan alternatif yang boleh diharapkan oleh penulis baharu dan mapan yang terdapat di Sabah. Jasni aktif berkarya sejak 1980-an dan usaha gigihnya melahirkan karya bermutu mendapat pengiktirafan tempatan dan antarabangsa, termasuk menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA WRITE Awards) 2015. Beliau juga dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Sabah keempat pada tahun 2024.
Kemudian, Hasyuda Abadi muncul sebagai teraju yang terlama menerajui IPS sepanjang sejarah IPS itu sendiri, yakni dari 1999 hingga 2019. Di bawah teraju beliau, IPS berkembang pesat dan ramai bakat muda muncul. Hasyuda seorang sasterawan prolifik yang telah menghasilkan ribuan karya sejak tahun 1980. Sumbangannya diiktiraf dengan pelbagai anugerah seperti Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019 dan beberapa kali Hadiah Sastera Sabah, dengan terakhir kali menerimanya pada tahun 2021/2022. Di samping IPS sendiri dinobatkan sebagai Persatuan Penulis Paling Aktif di Sabah oleh DBP pada tahun 1997, 2002 dan 2004, beliau dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Sabah ketiga pada tahun 2022.
Abd. Naddin Haji Shaiddin (2019–2021), salah seorang pengasas IPS, mengambil alih kepemimpinan menjelang 2020. Meskipun singkat, tempoh jawatannya penuh cabaran kerana pandemik COVID-19. Naddin pantas mengalih aktiviti IPS ke platform digital sambil mengekalkan tradisi persuratan. Latar belakang beliau sebagai wartawan turut membantu IPS memperluas jaringan kerjasama. Langkah ini memastikan IPS kekal aktif meskipun krisis melanda negara dan dunia.
Awang Abdul Muizz Awang Marusin menjadi Ketua Satu mulai 2022 mewakili generasi muda. Beliau aktif dalam IPS sejak remaja – cerpen pertamanya terbit pada 2009 – dan kini telah berjaya menerbitkan beberapa buah buku. Awang Abdul Muizz membawa nafas baharu, merencana Wawasan Penulis Sabah 2030 demi memastikan perjuangan IPS berterusan merentas generasi.
Sepanjang lebih tiga dekad, IPS mencapai pelbagai kejayaan di peringkat tempatan dan antarabangsa. Dari segi penerbitan, karya ahli IPS bercambah subur di media massa tempatan dan antarabangsa di samping turut dibukukan. Bahkan, IPS berjaya menerbitkan majalah sasteranya sendiri, iaitu Majalah Komposisi. Semua itu menggambarkan usaha IPS memperkenalkan dan menaikkan martabat negeri ini dalam arena sastera Malaysia.
Para penulis IPS turut mengharumkan nama Sabah melalui kemenangan Hadiah Sastera Sabah dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Malah, dua orang pemimpin IPS (Jasni dan Hasyuda) mencatat sejarah apabila merangkul gelaran Sasterawan Negeri Sabah. Jasni lebih bertuah kerana Malaysia menobatkan beliau sebagai penerima SEA WRITE Awards. Karya ahli IPS juga menembusi penerbitan di luar Malaysia, membuktikan sastera Sabah mampu bersaing di pentas antarabangsa.
IPS aktif menjadi pemangkin kelahiran penulis baharu melalui pelbagai inisiatif dan program. Bengkel penulisan, kem sastera dan sayembara puisi kerap dianjurkan di seluruh pelusuk Sabah. Program inovatif “Satu Bengkel, Satu Buku” memastikan setiap bengkel melahirkan antologi karya peserta. Usaha ini melahirkan puluhan - malah ratusan - orang penulis muda berbakat, sekaligus menjamin kesinambungan warisan sastera tempatan oleh generasi penerus.
IPS turut menjalin kerjasama erat dengan pelbagai pihak, terutamanya DBP dan persatuan penulis lain di negeri ini. Malah, hubungan persahabatan turut terjalin dengan komuniti sastera di banyak negara, terutamanya negara-negara Asia Tenggara.
IPS menzahirkan cintanya kepada Sabah dan Malaysia dengan cara tersendiri – melalui pena dan penghayatan budaya. Banyak karya yang lahir daripada ahli IPS mengangkat tema kecintaan terhadap tanah kelahiran: keindahan alam semula jadi Sabah, kisah rakyat pelbagai etnik, adat resam dan sejarah tempatan semuanya dirangkum dalam cerpen, puisi mahupun novel. Melalui sastera, warisan budaya dan nilai kemanusiaan Sabah disampaikan kepada generasi baharu agar tidak dilupakan.
Dalam penganjuran acara sastera, IPS turut menyerap semangat patriotisme. Lagu kebangsaan dan kibaran bendera menghiasi majlis IPS sebagai lambang syukur dan bangga menjadi anak Sabah dalam keluarga Malaysia. Bagi IPS, meraikan tanah air bukan terhad pada Hari Kebangsaan atau Hari Malaysia; keraian tersebut wajar dizahirkan sepanjang masa melalui kegiatan seni dan sastera.
Tradisi ziarah menyaksikan ahli IPS menziarahi para penulis veteran sebagai tanda penghargaan. Semua yang diziarahi oleh ahli IPS merupakan tokoh-tokoh besar sastera Sabah seperti Datuk Haji Shuhaibun Yussuf dan Hajah Dayang Salmah Salam dilantik sebagai Ahli Kehormat IPS atas sumbangan besar mereka. Begitu juga perintis sastera seperti Ali Amat Anas dan Mohammed Haji Salleh yang menerima penghormatan serupa baik semasa mereka masih ada mahupun setelajh mereka tiada. Menghargai pendahulu sesungguhnya menyemai rasa hormat terhadap warisan intelektual negeri – manifestasi jelas cinta IPS kepada tanah pusaka.
Menelusuri jejak IPS dari 1990 hingga 2025, terserlah dedikasi IPS dalam mencintai dan memuliakan tanah pusaka Sabah. Daripada usaha gigih para pengasas, sokongan pemimpin sepanjang zaman, hinggalah pembinaan penulis muda dan penghargaan penulis veteran – semuanya merangkai satu naratif cinta yang teguh. Cinta itu dizahirkan melalui karya sastera yang mengharumkan nama negeri, melalui aktiviti budaya yang menyatukan masyarakat, dan melalui semangat kekeluargaan antara penulis pelbagai generasi.
Ulang tahun ke-35 IPS bukan sekadar angka, tetapi perayaan sebuah perjalanan bermakna dalam memperkaya khazanah sastera Sabah dan Malaysia. IPS telah membuktikan bahawa dengan kecintaan yang mendalam terhadap budaya dan tanah air, sebuah organisasi penulis mampu memberi impak yang signifikan kepada masyarakat. Warisan sastera tempatan terus subur dengan lahirnya penulis baharu di bawah didikan IPS sembari khazanah lama terus dipelihara. Dengan visi jelas dan semangat padu, IPS terus mengorak langkah memastikan api cinta tanah pusaka ini terus menyala, menerangi generasi mendatang dalam memartabatkan sastera, budaya dan jati diri Sabah.
"Musuh melanggar kugempur
sungguh rela kugugur kerana
kau tanah pusaka
biar putih tulang, jangan putih mata."
Dol Ramli
Tanah Pusaka, 1960